almy2

PETALING JAYA – Baru sahaja kes putus cinta dengan pelakon Fizz Fairuz reda, aktres Almy Nadia ditimpa ujian lain apabila rumahnya di kampung terbakar, manakala ibunya patah tulang rusuk kanan.

Almy Atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 27, berkata, dia amat sedih dengan kejadian itu, apatah lagi tidak dibenarkan pulang ke kampung oleh syarikat produksi kerana masih lagi terikat dengan penggambaran drama.

“Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya sekarang, fikiran saya hanya mengingatkan kampung halaman dan ibu yang sedang sakit.

“Saya memang minta cuti untuk balik sekejap sejak rumah saya terbakar minggu lalu tapi sehingga sekarang saya tidak dibenarkan cuti dengan alasan akan mengganggu jadual artis lain,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.

Almy memberitahu pada 16 Jun lalu, rumah keluarganya di Kampung Pondok Upih, Balik Pulau, Pulau Pinang terbakar pada bahagian bilik tingkat bawah akibat letupan kecil daripada sebuah radio lama.

Bagaimanapun, menurut Almy, tiada ahli keluarga yang tercedera dalam kejadian tersebut.

Manakala pada malam Rabu lalu, ibunya Roshida Hashim, 45, pula mengalami patah tulang rusuk kanan selepas terjatuh di bilik air.

“Alhamdulillah walaupun kebakaran agak teruk tetapi tiada siapa yang tercedera dan bomba dapat mengawal api sebelum merebak ke bahagian atas.

“Saya difahamkan ia berlaku apabila sebuah radio lama meletup secara tiba-tiba walaupun tiada sebarang aliran elektrik kepada radio tersebut.

“Belum sempat saya balik menjenguk keluarga, saya diberitahu ibu pula jatuh bilik air, bayangkan bagaimana perasaan saya ketika ini,” jelasnya.

Tambah Almy, perniagaan makanan sejuk beku yang baru sahaja diusahakan bersama ibunya turut tergendala.

“Kami baru sebulan mulakan bisnes karipap sejuk beku yang dibuat sendiri namun selepas rumah terbakar ia dihentikan sementara, ditambah pula ibu sekarang dalam keadaan tidak sihat.

“Insya-Allah kalau rumah sudah siap dibaiki dan ibu sihat, perniagaan itu akan disambung semula kerana permintaan setakat ini menggalakkan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Almy dia menerima dugaan tersebut dengan hati yang tenang dan menganggap ia adalah sebagai satu ujian daripada Allah.

“Saya susah hati dan tiada pula tempat mengadu, semuanya saya tanggung sendiri.

“Sekarang saya hanya fikir positif dan anggap ujian tersebut adalah penghapus dosa-dosa yang telah saya lakukan,” katanya yang sedang menjalani penggambaran drama Maahad Al-Amin untuk televisyen Al-Hijrah. – mStar Online

Terima Kasih! Kerana Sudi Like dan Meninggalkan Komentar Pada Artikel ini ✌

Leave a Reply