KUALA TERENGGANU 26 Jan. – Minat yang mendalam terhadap Bahasa Arab mendorong Muhammad Hazim Hilmi Md. Harun, 19, nekad untuk ke tingkatan enam atas dan seterusnya menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Walaupun seorang demi seorang rakannya meninggalkan sekolah, ia tidak mematahkan semangat pelajar Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) itu untuk menduduki peperiksaan tersebut.
Dia kekal di sekolahnya itu untuk terus mendalami al-Quran dan memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan STAM yang diumumkan hari ini.
Muhammad Hazim merupakan antara tiga pelajar SMAASZA yang berjaya mendapat keputusan 10A atau Mumtaz dalam semua mata pelajaran bagi peperiksaan itu.
Anak kepada pasangan Md. Harun Ibrahim, 63 dan Raihan Ali, 53 itu mengambil 10 subjek iaitu Hifz al-Quran dan Tajwid, Fiqh, Tauhid Mantiq, Tafsir dan Ulumuhu, Hadith dan Mustolah, Nahu dan Sarf, Insyak dan Mustalaah, Adab Nusus, Arudh Qafizah serta Balaghah.
Menurutnya, walaupun pada mulanya berat untuk meneruskan persekolahan apatah lagi melihat rakan-rakan mula menyambung pelajaran di menara gading, dia berharap keputusan yang dibuat untuk terus memakai uniform sekolah berbaloi.
Jelasnya, memandangkan dalam keluarganya, hanya dia yang mengambil peperiksaan berkenaan, dia mahu membuktikan kejayaan dan seterusnya menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir.
“Sejak di tingkatan satu lagi saya memang amat berminat dalam Bahasa Arab kerana bahasa ini amat indah dan kita boleh belajar banyak perkara termasuk kitab-kitab syair lama,” ujarnya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bharu, Serada, dekat sini hari ini.
Katanya, memandangkan kesemua subjek STAM yang diambil memerlukan dia mahir bahasa itu, dia telah berusaha menguasainya sejak berada di tingkatan empat lagi.
“Ketika berada di tingkatan enam rendah saya sudah mula belajar bersama-sama senior yang menduduki peperiksaan pada tahun itu sebagai persiapan awal untuk menghadapinya tahun ini,” ujarnya.
Muhammad Hazim turut berkongsi kegembiraan bersama dua lagi rakannya iaitu Hazwani Adhilah Mohd. Zaki, 19, dan Siti Nor Mahiram Adnan, 19, yang juga memperolehi Mumtaz.
Dalam pada itu, Pengetua SMAASZA, Hashim Embong berkata, seramai 68 calon menduduki STAM tahun lalu dan daripada jumlah itu seramai 24 pelajar memperolehi keputusan Mumtaz, Jayid Jiddan (13), Jayid (27), Makbul (3), Rasib (1).

Terima Kasih! Kerana Sudi Like dan Meninggalkan Komentar Pada Artikel ini ✌