Suspek sempat menghantar SMS kepada teman wanitanya kerana terperangkap di dalam rumah Kamaruddin dan Che Norma (gambar) ketika bersembunyi di bawah katil.

Suspek sempat menghantar SMS kepada teman wanitanya kerana terperangkap di dalam rumah Kamaruddin dan Che Norma (gambar) ketika bersembunyi di bawah katil.

MARANG – Malang si pencuri. Itulah nasib seorang pemuda yang gagal keluar dari sebuah rumah dengan sejumlah wang hasil curian apabila terserempak dengan tuan rumah ketika bersembunyi di dalam bilik air rumah mangsa.

Sebelum itu, suspek juga dikatakan sempat menghantar SMS kepada teman wanitanya untuk memaklumkan dia terperangkap dalam rumah itu ketika bersembunyi di bawah katil sebelum keluar untuk bersembunyi di dalam bilik air.

Bagaimanapun, tindakan suspek berusia 20 tahun itu akhirnya disedari mangsa, Kamaruddin Baharom, 51, juga juga Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Perkaya, di sini, ketika dia masuk ke dalam bilik air terbabit.

Kamaruddin yang menguruskan syarikat pembinaan sendiri berkata, suspek dipercayai memasuki rumahnya antara jam 10 hingga 11.30 pagi selepas dia keluar ke tempat kerja, kira-kira 500 meter dari rumahnya.

“Saya keluar sekitar jam 10 pagi untuk ke tempat kerja dan pulang semula lebih kurang jam 12 tengah hari dan ketika mahu masuk ke dalam bilik air, saya terkejut lihat ada seorang lelaki di dalam bilik air tersebut.

“Saya kemudiannya menutup pintu sambil memegang tombol pintu bilik air, manakala isteri mendapatkan bantuan. Kami berjaya menangkapnya dengan bantuan dua anggota polis yang kebetulan melalui jalan depan rumah,” katanya.

Kamaruddin menunjukkan tempat suspek berdiri ketika dia mahu masuk ke dalam bilik air.

Kamaruddin menunjukkan tempat suspek berdiri ketika dia mahu masuk ke dalam bilik air.

Hasil pemeriksaan mendapati, wang tunai isterinya, Che Norma Salleh, 42, berjumlah RM441 diletakkan di dalam dompet hilang dan pemeriksaan polis pula mendapati wang itu disorok di dalam seluar dalam suspek.

Kamaruddin membuat laporan polis mengenai kejadian itu, di Balai Polis Merchang, Ahad lalu.

Kamaruddin ketika ditemui Sinar Harian menyifatkan tindakan suspek sebagai nekad kerana isterinya berada di dalam rumah ketika suspek memasuki rumahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi semalam, mengesahkan laporan dan kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah siang hari.

Menurutnya, suspek juga positif dadah dan turut disiasat mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Leave a Reply

CommentLuv badge

PERHATIAN: Tatkala kita leka membeli-belah, Tatkala kita leka membeli gadget-gadget baru atau tatkala kita bersenang lenang tidak bekerja. Lihatlah kanak-kanak ini yang juga leka bekerja demi sesuap nasi. Apakah perasaan kita bila merenung jauh kedalam matanya ?