Noh OmarKUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad menyifatkan tindakan Perdana Menteri yang tidak mengekalkan Datuk Seri Noh Omar sebagai menteri kabinet sebgai langkah tepat.

Katanya, dengan mentaliti Noh yang mengeluarkan kenyataan agar rakyat yang tidak bersetuju dengan sistem pilihan raya ‘duduk dalam hutan’, memang layak untuk tidak dilantik menjadi menteri.

“Layakkah ucapan ini  dikeluarkan oleh bekas seorang Menteri kabinet. Jika inilah mentaliti seorang pemimpin Umno memang patutlah Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lantik beliau sebagai Menteri,” kata Idris dalam atu kenyataan kepada Harakahdaily.

Noh yang juga timbalan pengerusi perhubungan BN Selangor kelmarin berkata, individu yang tidak suka dengan sistem pilihan raya negara ini sewajarnya “duduk di dalam hutan”.

Noh turut menyifatkan mereka yang mengadakan himpunan membantah penipuan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) sebagai melampaui batas dan tidak hormat kepada perlembagaan.

Mengulas lanjut, Idris yang juga AJK PAS Pusat berkata, tidak menolak kemungkinan kenyataan tersebut dikeluarkan Noh untuk menarik perhatian Najib untuk beliau kembali ke kerusi menteri.

Atau kata Idris, mungkin juga Noh terlalu kecewa dengan kekalahan teruk Umno BN di Selangor.

“Mungkin dia baru keluar daripada kolam udang Tanjung Karang, sehingga sanggup keluar kenyataan sedemikian rupa.

“Kalau pun hendak bodek bos, biarlah ada skill sikit,” kata Idris.